Noramfaizul penerima sulung pingat BGP

by admin on October 10, 2011

in Berita Melaka

[+] Kongsi Artikel di Facebook Anda
  • Sharebar

grey Noramfaizul penerima sulung pingat BGP

 Jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika membuat liputan di Somalia pada 2 September lalu, menerima pingat Bintang Gagah Perkasa (BGP) sempena sambutan Hari Kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang ke-73 esok.

Allahyarham merupakan penerima pertama pingat BGP sejak ia mula diperkenalkan pada 1978.

Penganugerahan pingat itu diberikan oleh kerajaan negeri kepada Allahyarham atas keberanian dan kegigihan beliau sewaktu menjalankan tugas di Somalia hingga mengorbankan nyawanya.

Noramfaizul ialah antara 266 penerima sesi pertama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Melaka yang akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor mengetuai senarai 1,068 penerima dan beliau dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dua lagi menteri Kabinet yang turut dianugerahkan DGSM ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Tiga lagi penerima darjah yang sama ialah Gabenor Provinsi Riau, Datuk Dr. (HC) M. Rusli Zainal, Gabenor Provinsi Kepulauan Riau, Drs. H. Muhammad Sani dan bekas ahli Parlimen Sultan Kudarat, Daerah Satu, Provinsi Mindanao, Filipina, Datu Pax. S.Mangudadatu Al-Haj.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Ir. Idris Haron dan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Rosli Mat Hassan dan 11 yang lain akan menerima anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira.

Turut menerima anugerah tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik.

Penerima lain DCSM ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Halijah Abbas; Ketua Pengarah Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar serta Mahaguru Persatuan Seni Silat Lincah, Tan Sri Omar Din Mauju.

Seramai 25 penerima pula akan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kei; penyanyi veteran Goh Eng Boon atau Andre Goh; Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin dan Exco Pergerakan Wanita UMNO, Marlia Abd. Latiff.

Turut menerima anugerah tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mortadza Nazarene; Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Brigadier Jeneral Mahadi Abdul dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Saadun Basirun.

Dua pengarang kanan media turut menerima anugerah tersebut iaitu Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarang, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Berhad (Bernama), Zulkifli Salleh.

Seramai 73 lagi penerima akan dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antaranya ialah Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Shahrul Zaman Yahya; Setiausaha Sulit Yang Dipertua negeri, Shamsuddin Salim dan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Malaysia, Megat Zulkarnain Omar Din dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran, Sayuti Mukhtar.

Turut menerima anugerah itu ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Syed Mehdhar Syed Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Sementara itu seramai 49 penerima bagi Darjah Seri Melaka (DSM), 50 Jaksa Pendamai (JP), 107 Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 156 Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 310 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 244 Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 33 Pingat Khidmat Lama (PKL).

Sementara itu wartawan negeri ini yang turut menerima pingat ialah jurugambar The Star, Malex Yahya dan jurugambar Melaka Hari Ini, Azhar Yusof apabila masing-masing dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (BKT) manakala Penolong Ketua Biro Kosmo! Melaka, Rosli Hassan memperoleh Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Leave a Comment

Previous post:

Next post: