SSM LAKAR SATU LAGI PENCAPAIAN DENGAN PERASMIAN BANGUNAN PEJABAT BAHARU MILIKNYA DI MELAKA

Ayer Keroh, 18 Mac 2023 -suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melakar satu lagi pencapaian dengan perasmian bangunan pejabat baharu miliknya di negeri Melaka.
Pejabat SSM Negeri Melaka yang baharu beralamat di Jalan Komersial, Taman Kota Fesyen MITC, Ayer Keroh telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bangunan pejabat yang berkeluasan 10,395 kaki persegi ini merupakan fasiliti yang dapat menggalakkan lebih ramai usahawan di negeri Melaka mendaftarkan entiti perniagaan mereka di bawah akta yang dikawalselia oleh SSM.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Salahuddin berkata pembukaan pejabat baharu ini membuktikan bahawa SSM sentiasa peka dan mengambil berat tentang keperluan komuniti perniagaan terutamanya di negeri Melaka.
Beliau juga berharap pihak-pihak yang berkepentingan di Melaka terus berganding bahu bersama SSM untuk mengalakkan komuniti niaga di negeri itu mendaftarkan perniagaan mereka di SSM. Menurut statistik di negeri Melaka, sehingga 28 Februari 2023, jumlah perniagaan yang berdaftar dengan SSM adalah 317,305 manakala jumlah syarikat yang diperbadankan dengan SSM adalah 29,639. Jumlah perkongsian liabiliti terhad (PLT) yang berdaftar dengan SSM pula adalah 578.
Semasa program berlangsung, SSM menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat (WZK) SSM berjumlah RM74,000 kepada 24 entiti penerima termasuk peniaga yang terkesan banjir, masjid, surau, pusat tahfiz dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM berjumlah RM15,000 kepada lima rumah kebajikan. Agihan keseluruhan yang disampaikan berjumlah RM89,000.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBrs. Tuan Ahmad Sabki Yusef, Pengerusl SSM, YBrs. Dr. Zulqarnain Lukman, Anggota SSM, YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Timbalan-Timbalan Ketua Pegawal Eksekutif SSM dan Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri KPDN serta SSM, wakil badan-badan profesional dan setiausaha-setiausaha syarikat.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 18 MAC 2022.

TEKS UCAPAN
YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP (KPDN)
PADA
18 MAC 2023 10:00 PAGI
LOKASI
PEJABAT

Bismillahirrahmanirrahim,

Terima kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis.

Yang saya hormati,
YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz
YBhg Ketua Pegawai Eksekutif,
suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Anggota-anggota SSM,
YBrs. Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah-pengarah Sahagian dan Negeri SSM,
Ketua-ketua Jabatan Agensi/ Persekutuan dan Negeri,
Wakil-wakil Media,
Warga SSM serta para hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamu’alaikum warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Terima kasih pengacara majlis;

  1. Syukur Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bertemu dalam Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Baharu SSM Melaka.
  2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana menjemput saya hadir ke majlis yang amat bermakna ini untuk meraikan satu lagi pencapaian SSM sebagai sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian saya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
  3. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang telah terlibat dalam penganjuran majlis pada pagi ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat, SSM sentiasa bersedia meningkatkan penyampaian berpaksikan visinya iaitu menjadi pendaftar dan pengawal selia terulung.
  2. Sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tahap tadbir urus korporat, SSM melaksanakan fungsinya mengawalselia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan untuk negara.
  3. Dalam tempoh lebih dua dekad sejak penubuhannya, SSM telah melalui pelbagai transformasi dan pencapaian termasuk memiliki bangunan sendiri di ibu pejabat iaitu bangunan Menara SSM@Sentral, SSM Perak, SSM Miri dan SSM Kuching. Kini, tiba masanya SSM melakar lagi satu kejayaan dengan memllikl bangunan sendiri di negeri Melaka yang bersejarah ini.
  4. Saya yakin dan percaya pemilikan bangunan di negeri Melaka ini merupakan langkah terbaik kerana seperti yang kita sedia maklum, Melaka merupakan negeri yang pernah masyhur dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan pada abad ke 15 dan 16. Sehingga kini, masyarakat di Melaka masih mengutamakan aktiviti perniagaan sebagai salah satu penjana pendapatan yang utama, selari dengan pembangunan pesat yang dialami oleh kota ini.
  5. Ini dibuktikan dengan kadar pendaftaran perniagaan, syarikat dan perkongsian libiliti terhad (PLT) di negeri ini, di mana sehingga 28 Februari 2023, sebanyak 317,305 perniagaan telah berdaftar dengan SSM dan 29,639 syarikat telah diperbadankan dengan SSM. Bagi PLT pula, sebanyak 578 PLT telah didaftarkan sehingga 28 Februari 2023.
  6. Entiti-entiti perniagaan ini merupakan pemangkin kepada ekonomi negara amnya dan Negeri Melaka khususnya. Selain menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi, entiti-entiti perniagaan yang didaftarkan di SSM ini juga mencipta pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
  7. Ternyata, peluang-peluang pekerjaan yang berterusan yang ditawarkan oleh entiti-entiti perniagaan ini dapat menjana kadar pertumbuhan ekonomi dan seterusnya merangsang pemulihan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Saya berharap pihak-pihak yang berkepentingan di negeri ini terus berganding bahu bersarna SSM untuk mengalakkan kornuniti niaga di Melaka mendaftarkan perniagaan mereka di SSM.
  8. Keperluan mendaftarkan perniagaan amat penting dan SSM sentiasa berusaha mempromosikan formalisasi perniagaan melalui pendaftaran entiti perniagaan. Antara faedah mendaftarkan perniagaan dengan SSM termasuk perniagaan diakui sah di sisi undang-undang, membolehkan akaun semasa perniagaan didaftarkan, boleh mengadakan kontrak atau perjanjian perniagaan, meningkatkan kepercayaan pembeli untuk berurusan dengan peniaga yang sah, berpeluang menyertai latihan keusahawanan yang disediakan kerajaan atau agensi berkaitan dan berpeluang mendapat bantuan atau pinjaman kewangan keusahawanan dari kerajaan atau agensi berkaitan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Pembukaan pejabat baharu SSM ini membuktikan bahawa SSM sentiasa peka dan mengambil berat tentang keperluan komuniti perniagaan terutamanya di Negeri Melaka. Di samping dapat memberikan kemudahan yang terbaik kepada komuniti niaga di negeri ini, bangunan baharu ini juga diharapkan dapat mendorong warga kerja SSM untuk terus mencapai prestasi dan kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi.
  2. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan pembelian dan pembangunan Bangunan Pejabat Baharu SSM Negeri Melaka ini, dari peringat awal sehingga akhirnya SSM dapat memulakan operasai di bangunan ini.
  3. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada SSM di atas penganjuran majlis pada pagi ini. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada SSM! Semoga perasmian bangunan baharu ini memberi manfaat sepenuhnya kepada semua masyarakat di negeri ini.
  4. Saya berharap perasmian Bangunan Baharu SSM Negeri Melaka ini akan menaikkan lagi semangat warga kerja SSM untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan seterusnya meningkatkan lagi ekonomi di Negeri Melaka ini.
  5. Dengan lafaz Bizmillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Bangunan Baharu SSM Negeri Melaka, di Jalan Komersial, Taman Kata Fesyen MITC.

Sekian.

Wabillahi taufik walhidayah, Wassalam mua’laikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

You are currently viewing SSM LAKAR SATU LAGI PENCAPAIAN DENGAN PERASMIAN BANGUNAN PEJABAT BAHARU MILIKNYA DI MELAKA